kaabah kiblatku,al-quran imamku,islam agamaku

Ahad, 15 September 2013

PENYAKIT HATI

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani." (Al Hujurat ayat 12)

Berpandukan ayat di atas, jelas kepada kita di dalam diri manusia terdapat 3 jenis penyakit hati yang sukar diubati. Penyakit hati inilah yang membawa kepada kemusnahan ukhwah antara kita di dalam kehidupan bermasyarakat. Malahan penyakit hati ini juga akan membawa kepada perbalahan dan perpecahan kepada kita semua seandainya kita tidak menjauhinya.

Pertama, sangka atau prasangka. Walaupun Allah tidak melarang terus tabiat ini, namun berdasarkan kesannya yang buruk, Allah menghendaki kita menjauhinya. Sangkaan yang dilarang itu ialah sangkaan yang membahayakan serta menyusahkan, sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Contohnya ialah seorang lelaki yang berkunjung ke rumah seorang wanita pada waktu malam ketika suaminya tiada di rumah. Seseorang yang melihat peristiwa itu akan terus membuat sangkaan yang bukan-bukan. Dia pula kemudiannya menceritakannya kepada orang lain, dan ceritanya pula lebih buruk dari keadaan sebenar. Alangkah malangnya wanita tersebut andainya yang datang itu adalah abang kandungnya sendiri.

Kedua ialah amalan suka mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Perbuatan seperti ini boleh mewujudkan permusuhan. Bagaimana perasaan kita apabila ada orang yang suka mengintip pergerakan dan mencari kesalahan kita??? Adakah kita akan berdiam begitu sahaja tanpa bertindak balas? Selagi manusia memiliki nafsu, sifat ingin bertindak balas pasti wujud demi mempertahankan cerita tentang diri kita diketahui orang lain walaupun benar. Perbuatan suka mencari kesalahan orang lain semata-mata untuk mendedahkannya kepada orang lain, adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang keras oleh Islam. Tetapi jika perbuatan ini bertujuan untuk mendapatkan bukti untuk didakwa di mahkamah dan seumpamanya, maka perbuatan ini tidak dilarang malah diharuskan.

Islam lebih suka kalau kita merahsiakan keburukan dan keaiban seseorang. Perbuatan seperti ini adalah amalan para Rasul, dan Rasullullah SAW sendiri pernah memberi jaminan bahawa sesiapa yang menutup keaiban dan kesalahan orang lain akan diberi ganjaran dengan terpelihara keaibannya pada hari akhirat. Hal ini jelas dalam sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

"Sesiapa yang menutupi (keburukan-keaiban) saudaranya sesama Islam, dan tidak didedahkannya (kepada orang lain) nescaya Allah akan menutupi keaibannya pada hari akhirat."

Ketiga ialah penyakit mengumpat dan kata-mengata. Perbuatan ini juga merupakan penyakit masyarakat yang amat berbahaya. Sekiranya perbuatan ini sudah menjadi amalan dan tabiat seseorang, masyarakat akan menjadi porak peranda dan berpecah belah. Inilah yang dianggap punca perpecahan dan permusuhan. Perkara yang berlaku walaupun benar juga dilarang untuk diumpat apatah lagi perkara yang tidak benar. Pada suatu ketika, iaitu semasa Saidatina Aisyah bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki yang agak pendek. Semasa lelaki itu keluar, Aisyah berkata, "Pendeknya orang itu". Lalu segera dijawab oleh Rasulullah, "Ya Aisyah, sesungguhnya kamu telah mengumpat dia". Jawab Aisyah, "Bukankah itu perkara yang benar, ya Rasulullah". Maka jawab Rasulullah, "Itulah yang dikatakan mengumpat, kalau sekiranya perkara itu tidak benar, maka itu dusta namanya".

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menyebut, menceritakan dan mendedahkan keburukan, keaiban, kecacatan, kekurangan, kepincangan seseorang kepada orang lain dinamakan mengumpat. Jika orang yang diumpat itu tidak mengetahuinya, maka ia kan memperolehi pahala daripada umpatan itu, manakala yang mengumpat akan beroleh dosa. Sebaliknya jika orang yang diumpat itu mengetahui, tentu akan berlakulah permusuhan dan persengketaan.

Secara sepintas lalu, ketiga-tiga penyakit ini kelihatan hampir serupa, iaitu sangka buruk, suka mencari kesalahan orang lain dan kata mengata. Ketiga-tiga jenis penyakit ini terbit daripada hati yang telah dirosakkan oleh nafsu yang dikuasai oleh syaitan dan iblis. Penyakit-penyakit seperti ini tidak berlaku melainkan kerana iri hati, busuk hati dan sakit hati.

Kita mungkin mampu hidup sendirian tetapi kita mungkin tidak mampu hidup tanpa teman. Bersama samalah kita menjaga hati kita daripada terus dijangkiti penyakit hati. Binalah kehidupan bermasyarakat yang saling memahami serta menjaga kebajikan di antara satu sama lain. Jangan biarkan ukhwah kehidupan kita dihancurkan hanya kerana penyakit-penyakit hati yang tanpa kita sedari telah bersarang di dalam diri kita.


my official blog!~